Thursday, April 12, 2012

Zaid bin Harithah

Apabila Rasulullah s.a.w diperintahkan menyampaikan Islam,orang pertama yang baginda sampaikan ialah isteri baginda iaitu Saidatina Siti Khadijah. Beliau tidak teragak-agak sedikitpun menerima Islam. Siti Khadijah adalah orang pertama dan wanita pertama yang memeluk Islam. Selepas itu Zaid bin Harithah masuk Islam.[1]

Zaid tinggal di rumah Rasulullah. Semasa beliau masih kecil, sukunya diserang dan dia ditawan. Kemudian beliau dijual sebagai hamba. Beliau berpindah daripada satu tangan ke satu tangan sampailah ke tangan Saidatina Khadijah. Hakim bin Hizam telah membeli Hazrat Zaid bin Harithah untuk ibu saudaranya Saidatina Khadijah r.anha. Apabila Hazrat Khadijah r.anha berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. untuk berkhidmat kepada Baginda s.a.w.

Perpisahan dengan Hazrat Zaid bin Harithah menyebabkannya ayahnya terlalu sedih. Kesedihan ini memang patut berlaku kerana cintakan anak-anak merupakan satu fitrah. Dia menangis kerana perpisahan itu dan berjalan ke sana ke mari sambil bersyair. Terjemahan syair-syair itu adalah seperti berikut:

Aku menangis dalam mengingati Zaid

Tidakku tahu apakah dia masih hidup?

Supaya aku terus menaruh harapan

Ataupun maut telah memusnahkannya

Demi Tuhan tidakku ketahui wahai Zaid

Adakah tanah lembut memusnakanmu

Ataupun mana-mana bukit yang memusnahkanmu?

Alangkah baiknya kalau aku mengetahui

Adakah tanah engkau akan kembali atau tidak sepanjang hidup ini?

Di seluruh dunia hanya hanya kembalianmu yang menjadi maksudku

Bila sahaja suria menyinsing

Hanyalah Zaid yang aku ingatkan

Dan bila sahaja hujan turun

Ingatan kepadanyalah yang menyiksa aku

Apabila angina bertiup

Ianya menyemarakkan ingatanku terhadapnya

Oh! Alangkah panjangnya kedukacitaanku

Kanku pacu unta-unta ke seluruh dunia

Untukmencarinya

Tidakkanku letih mengelilingi dunia

Kalaulah unta letih berjalan, biarkan unta itu letih

Tapi aku tidak akan keletihan

Akanku habiskan hidupku untuk mencarinya.

Cuma bila kematianku menjelma

Sememangnya maut memusnahkan segala-galanya

Walaupun sebanyak mana seseorang itu menaruh harapan

Tetapi akanku wasiatkan kepada orang-orang selepasku

Saudara, keluarga dan anak-anak

Agar mereka terus mencari Zaid seperti itu.

Begitulah keadaannya ke sana-sini mencari dan menangis sambil membaca syair-syair itu. Secara kebetulan, beberapa orang dari kaumnya telah pergi mengerjakan haji. Mereka telah mengenali Hazrat Zaid r.a. lalu menceritakan keadaan ayahnya sambil membacakan syair-syair itu dan juga kisah kerinduan dan perasaan sedih akibat perpisahan yang dialami oleh ayahnya itu. Lantaran itu Hazrat Zaid r.a. telah mengungkapkan tiga rangkap syair lalu menghantar kepada bapanya melalui mereka. Makna syair-syair itu ialah:

Saya di sini di Mekah dengan selamat sejahtera

Janganlah ayah bersedih durja

Saya di sini menjadi hamba

Kepada orang yang sangat mulia.

Orang-orang itu telah pulang lalu memberitahu bapa Hazrat Zaid r.a. tentang keadaan Hazrat Zaid r.a. yang sejahtera, tempat beliau berada dan membacakan syair-syair itu kepadanya.[2]

Lalu ayah dan bapa saudara Hazrat Zaid r.a telah pergi ke Mekah dengan membawa wang sebagai tebusan untuk membebaskan Hazrat Zaid darpada perhambaan itu. Mereka telah menyelidik dan mendapat tahu tempat Hazrat Zaid r.a. berada lalu mereka pergi menemui Rasulullah s.a.w. Mereka berkata, “ Wahai anak keturunan Hashim dan ketua kaum, kamu ialah orang yang tinggal di Tanah Haram, menjadi jiran kepada rumah Allah s.w.t. Kamu sendiri memerdekakan hamba-hamba, memberi makan kepada orang yang lapar. Kami dating ke tempat kamu kerana menuntut anak kami dan bebaskanlah dia. Bahkan ambillah lebih daripada wang tebusan pun.”

Rasulullah s.a.w bertanya, “ Apakah urusan kamu sebenarnya?” Mereka menjawab, “ Kami dating untuk mencari Zaid.” Baginda bertanya lagi, “ Hanya itu sahaja urusan kamu?” Mereka menjawab, “ Ya, hanya itu sahaja permintaan kami,” Baginda s.a.w berkata, “Panggilah dia, dan tanyalah dia sendiri. Sekiranya dia ingin pergi dengan kamu maka saya tidak akan memaksa seseorang yang tidak ingin pergi.” Mereka membalas, “ Tuan telah menunjukkan kebaikan untuk kami lebih daripada yang sepatutnya. Kami menerima tawaran tuan dengan penuh suka hati.” Selepas itu Hazrat Zaid r.a. dipanggil. Baginda s.a.w bertanya, “Adakah engkau mengenali mereka ini?” Jawab Hazrat Zaid r.a. “ Ya, saya mengenali mereka. Ini ayah saya dan ini pak cik saya.” Baginda berkata lagi, “Engkaupun mengetahui keadaan saya. Sekarang engkau boleh buat pilihan. Sekiranya engkau ingin tinggal bersamaku, engkau boleh tinggal bersamaku. Sekiranya engkau ingin pergi bersama mereka saya izinkan.” Hazrat Zaid r.a berkata, “ Tidak mungkin saya menyukai sesiapa lebih daripada tuan. Tuanlah ayah saya dan tuanlah pak cik saya.” Kedua-dua ayah dan pakciknya berkata, “Zaid, adakah engkau memilih perhambaan daripada kemerdekaan? Engkau lebih suka menjadi hamba daripada tinggal bersama ayah, pak cik, dan semua ahli keluargamu?” Hazrat Zaid r.a. berkata sambil menunjukkan kea rah Nabi Muhammad s.a.w, “ Ya, saya dapati daripada orang ini sesuatu yang menyebabkan saya tidak boleh menyukai segala sesuatu yang lebih daripadanya.” Mendengarkan jawapan itu, Nabi Muhammad s.a.w. terus meletakkan beliau di atas ribaan Baginda s.a.w sambil berkata, “Saya telah menjadikan Zaid anak saya”. Melihatkan peristiwa itu ayah dan pak cik Zaid r.a menjadi sangat gembira dan dengan kegembiraanlah mereka pulang meninggalkannya. [Tarikul-Khamis] Pada masa itu, Hazrat Zaid r.a. masih kanak-kanak. Dalam umur yang masih muda beliau sanggup mengorbankan rumah dan saudara mara demi untuk menjadi hamba kepada Nabi s.a.w. Keadaan ini jelas menunjukkan cinta yang begitu mendalam terhadap Rasulullah s.a.w.



[1] Zulkifli Mohd. Yusoff. Noor Naemah Abd. Rahman. Bibliografi Muhammad bin Abdullah. PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. 2003. Hlm. 45.

[2] Syaikhu Hadis Maulana Muhammad Zakaria. Fadhilat Amal. ERA AMAL SDN. BHD. Kuala Lumpur.Hlm. 250

No comments: